Thursday 30 May 2013

Kepentingan Mempelajari Teknologi Maklumat

Komputer merupakan teknologi maklmat yang terkini yang dapat digunakan oleh pelajar sama ada didalam ataupun di luar bilik darjah. Penggunaan komputer secara meluasmemberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari pelbagai ilmu terutama melalui saluran internet.

Ilmu yang diperoleh melalui komputer meliputi pelbaga aspek seperti undang-undang, sains sosial, perniagaan, dan lain-lain. Sesetengah pelajar tidak memerlukan buku rujukan kerana menggantikannya dengan pemelajaran melalui komputer. Komputer dapat memaparkan rangkaian berita yang diolah dalam bentuk elektronik. Pelajar juga dapat membaca berita yang terdapat dalam akhbar harian hanya melalui komputer.

Bukan mudah untuk menjelajah dunia dalam masa yang singkat. Namun, dengan teknologi komputer, pelajar berpeluang untuk mendapatkan maklumat dan mengetahui keadaan di seluruh dunia dalam masa yang singkat hanya melayari internet.

Komputer kini semakin penting terutama dalam bidang komunikasi, penyiaran, pembelajaran, dan pengiklanan. Kita dapat menghantar maklumat dan menyampaikan sesuatu maklmat hanya melayari komputer. Syarikat-syarikat yang terkenal sudah mulai mengiklankan perkhidmatan mereka melalui internat. Orang ramai hanya perlu menekan huruf di papan kekunci komputer bagi mendapatkan maklumat yamng dikehndaki. Kaedah ini secara tidak tidak langsung dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan untuk ke sesuatu tempat.


Wednesday 29 May 2013

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME


                       
 Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini?
                   Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”.
                   Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. 
                   Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. 
                  Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’.



Langkah-langkah untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar...

Pencemaran alam sekitar menjadi ancaman kepada kehidupan manusia pada hari ini.

Bincangkan langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

      Alam sekitar semakin tercemar dan itu merupakan realiti yang harus kita semua sedari. Pihak media massa turut sama menyiarkan pelbagai komen dan analisis mereka tentang kemelut yang melanda alam ini. Semakin lama kita mengabaikan kenyataan ini semakin serius masalah ini dalam kehidupan manusia. Lantaran itu, pelbagai tindakan konkrit perlu dilaksanakan oleh semua pihak dalam menangani masalah ini.

       Langkah paling awal ialah kerajaan perlu mengawal perlepasan asap dan pembuangan toksik bahan kilang dengan efektif. Pengawalan ini boleh dilakukan menerusi tindakan menguatkuasakan undang-undang terutama meningkatkan aspek dendaan dan hukuman penjara kepada pesalah. Rakyat negara ini pasti akan berasa takut apabila mendengar bahawa hukuman mencemarkan alam begitu berat sehingga mereka tidak lagi berani mencemarkan alam. Jadi, kerajaan perlu mengawal pencemaran alam dengan mengetatkan peraturan yang sedia ada.

        Selain mengetatkan peraturan, aspek penguatkuasaan turut memainkan peranan yang penting. Maknanya, lebih banyak pegawai penguatkuasa alam sekitar dilatih untuk mampu mengesan lalu mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pencemaran alam ini. Pegawai ini hendaklah dilatih dengan menggunakan teknologi terkini dan praktikal untuk memudahkan mereka melaksanakan tugas dengan baik. Oleh itu, jumlah pegawai penguatkuasa yang banyak memastikan aspek perundangan negara terhadap isu alam sekitar dilaksanakan dengan berkesan.

       Pada masa yang sama isu pencemaran alam ini mampu diatasi menerusi tindakan membuat kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh difokuskan terhadap golongan muda terutama yang masih berada di bangku sekolah kerana golongan inilah yang akan mewarisi alam sekitar kita. Kesedaran ketika masih muda menjadikan rakyat kita boleh melakukan sesuatu apabila mereka dewasa kelak terutama untuk memastikan alam sentiasa bersih dan berkekalan. Oleh itu, kempen yang difokuskan kepada sasaran yang tepat mampu membuahkan hasil yang baik kepada pengekalan alam sekitar di negara ini.

        Malahan, perubahan sikap masyarakat turut penting dalam memastikan alam sekitar kita terus wujud. Sikap tidak apa atau menganggap tugas menjaga alam sekitar boleh dilakukan oleh orang lain perlulah dikikis segera. Sebaik sahaja kita melihat atau mengetahui satu tindakan mencemarkan alam berlaku sepantas kilat kita memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan. Maka, perubahan sikap masyarakat menjadikan usaha mengatasi masalah pencemaran alam ini sesuatu yang mudah pula.

        Konklusinya, kita mempunyai banyak pilihan untuk memastikan alam sekitar kita terus bersih dan berkekalan. Cuma kita masih enggan mengakui bahawa alam sekitar semakin hilang ditelan kerakusan sikap manusia sendiri yang mengutamakan kebendaan itu. Mungkin naluri manusia yang menganggap mereka makhluk yang paling baik menyebabkan kita alpa akan tugas kita untuk menjaga alam sekitar ini. Alam sekitar bukanlah anugerah Tuhan kepada kita tetapi amanah yang harus kita serahkan kepada generasi akan datang pula.