Saban hari, kita sering mendengar isu
remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita
mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar
tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan
sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka
tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang
melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan
‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak
tertentu untuk menangani masalah ini?
Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan
penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam
jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya
menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka
mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti
yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang
rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka
terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal
ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan
ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”.
Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh
apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan
mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam,
buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian.
Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu
bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran
kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya,
ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka.
Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen
untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut
melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang
semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun
yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang
melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah
melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan
kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan
taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat
diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak
berwajib.
Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah
keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat
tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang
besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan
atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej
negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak
segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk
barulah nak terngadah’.
No comments:
Post a Comment